Petikan daripada
Berita Harian Online : STATISTIK Internet Dunia menunjukkan pengguna internet berjumlah 888 juta orang. Angka ini barangkali kian meningkat, lantas memungkinkan peniaga di laman maya ini memperoleh keuntungan tanpa perlu menyewa premis perniagaan, membayar kos pengiklanan dan paling menarik tanpa sempadan!.
Kebaikan ditawarkan perniagaan secara maya ini membolehkan jutawan senyap itu terus melebarkan sayapnya. Walaupun ia dianggap mustahil oleh segelintir individu, Ismawati Ismail berjaya membuktikannya, malah memperoleh keuntungan yang tidak pernah beliau jangkakan sebelum ini.
Walaupun enak bunyinya di telinga, tetapi Ismawati tidak menafikan keperluan bekerja keras khususnya pada peringkat awal membina perniagaan. Tetapi yang menyeronokkan wanita berusia 30 tahun itu ialah cara perniagaan itu tidak memeningkan kepala kerana tidak perlu memiliki pekerja, atau menyewa tapak perniagaan, sebaliknya modal hanyalah sebuah kamera dan komputer riba.

“
Selain modal, aset utama menjalankan perniagaan menerusi internet ini ialah kesabaran. Apatah lagi sekiranya ia dijalankan menerusi blog, atau ‘online blogshop’ hanya iklan secara mulut atau komen baik daripada rakan blog, maka ia akan laris,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Pemilik perniagaan butik menerusi internet itu berkata, pada peringkat permulaan blognya beroperasi, hampir sembilan bulan produknya tidak terjual kerana blog itu, baru dan tidak begitu dikenali.
“Itulah cabaran utamanya malah mungkin itu juga masalah hampir sebahagian besar pemilik blog yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ini. Perniagaan ‘tanpa kedai’ ini hanya boleh berjaya sekiranya kita menawarkan produk yang baik dan memiliki ramai rakan di blog yang mempunyai minat sama.
“Sekiranya rakan di blog ‘review’ atau memperkatakan hal baik mengenai blog kita, maka akan ramailah yang berkunjung ke blog kita, meninjau produk ditawarkan. Sekiranya pengunjung berminat dengan apa yang kita tawarkan, barulah produk kita akan terjual,” katanya.
Tetapi, katanya, baru pertengahan tahun lalu tergerak hati untuk mencuba kaedah perniagaan itu.
“Saya memang peminat aksesori dan maxi dress. Disebabkan saya selalu membeli secara banyak, saya terfikir lebih baik saya cuba untuk menjualnya di blog, berkongsi dengan wanita lain di laman itu. Manalah tahu, kalau tidak laku pun saya tidaklah rasa ralat sangat sebab saya boleh pakai,” katanya.
Ismawati membeli kebanyakan produknya di Bangkok, Thailand. Pada peringkat permulaan, beliau hampir kecewa juga kerana produknya tidak terjual seperti diimpikan. Dalam usaha mempromosi blog berkenaan, beliau turut terbabit mengiklankan produknya menerusi jualan terbuka.
“Saya mula menyertai ‘flea market’ anjuran Bijou Bazaar sekitar Ogos 2008 sebagai usaha mempromosikan produk House of Allure. Pendedahan ketika menyertai ‘flea market’ ini banyak membantu saya memahami kehendak pelanggan dan pada masa yang sama saya mengambil kesempatan untuk mengenali dan mengetahui personaliti pelanggan supaya lebih mudah untuk berurusan secara online pada masa depan kerana saya sudah dapat mengagak ukuran badan mereka.
“Dengan ini, lebih mudah untuk saya memberi khidmat nasihat dan idea untuk produk yang mereka berkenan. Pada masa yang sama, pelanggan pun akan berasa lebih puas hati dan yakin kerana dapat mencuba sendiri produk dan lebih yakin untuk ke blog dan membuat pembelian secara online. Bagaimanapun, saya akui selepas blog saya diulas oleh sebuah majalah tempatan, hasil jualan turut meningkat,” katanya.
“Kelebihan menjual di blog ini ialah harga barang sudah ditetapkan, berbeza dengan E-bay yang berkonsepkan lelongan. Dengan tarikan harga tetap yang menarik, urusan perniagaan akan berjalan dengan lebih lancar dan pantas. Jika di E-bay, satu jangka masa akan ditetapkan, dan setelah waktu bidaan habis, barulah urusan jual beli dapat dilakukan. Jika pembida menarik diri pada saat akhir, maka proses ini terpaksa diulang semula,” katanya.
Ismawati berkata, kadangkala pelanggan banyak bertanya mengenai produk yang ditawarkan, tetapi itulah adat membeli secara maya. Tetapi sebagai peniaga siber, Ismawati faham dengan situasi itu, malah memang mengalu-alukan pertanyaan dan kemusykilan mereka supaya tidak wujud rasa ralat ketika produk sampai ke muka pintu rumah mereka.
“Pada saya, komunikasi yang bagus, response yang cepat dan sabar dalam melayani kerenah pelanggan adalah jambatan yang boleh menjadikan sesiapa saja berjaya dalam perniagaan online ini. Perniagaan ini sebenarnya memberikan kita lebih masa rehat. Bukan 24 jam perlu berhadapan komputer, sebaliknya boleh pilih masa untuk menjalankan perniagaan atau sebaliknya.
“Kalau saya ada kerja luar daerah, saya akan nyatakan bila saya ke sana dan bila akan pulang ke dalam negara, kerana kalau tidak ada pelanggan sudah pasti akan tertanya-tanya kita di mana atau kecewa bila telefon saya tidak angkat. Hingga ke hari ini, saya selesa dengan apa yang saya lakukan.
“Malah suami pun memberikan sepenuh sokongan kepada saya. Sokongan dan permintaan daripada pelanggan sendiri membuatkan saya bersemangat untuk terus maju dalam perniagaan online ini. Kepuasan sebenar adalah apabila pelanggan memuji kualiti pembelian mereka dan kembali sebagai pelanggan tetap.
“Tanpa disedari, sebenarnya berurusan secara online ini lebih murah, tetapi mempunyai kawasan perniagaan luas kerana ia boleh dilayari oleh sesiapa saja di dunia ini asalkan ada talian internet. Saya juga pernah membuat urusniaga dengan pelanggan dari luar negara. Perniagaan ini juga semakin meningkat naik, malah pelajar pun ramai melakukannya kerana ianya cukup mudah,” katanya yang lazimnya meletakkan gambar baru di blognya tiga kali seminggu @
House of Allure